LONDON: Penglihatan penyanyi, Elton John, belum pulih sepenuhnya selepas mengalami jangkitan sejak September lalu.
Menurut Utusan Malaysia, penyanyi bertaraf legenda berkenaan memaklumkan Abc News, disebabkan masalah itu, beliau sebelum ini terpaksa melepaskan peluang menonton pementasan The Devil Wears Prada di London.
“Saya tidak dapat menontonnya, tetapi sudah lama berkeinginan untuk menyaksikannya. Dan malam ini saya hadir. Muziknya kedengaran sangat bagus,” kata Elton selaku pencipta skor muzik untuk pementasan tersebut.
Penyanyi berusia 77 tahun itu pada September lepas mendedahkan mengalamai jangkitan pada sebelah matanya.
Elton yang memaklumkan perkara itu di Instagram berkata buat sementara waktu, beliau hanya dapat melihat dengan sebelah mata sahaja.
“Saya sedang pulih, tetapi prosesnya amat perlahan.
“Ia akan mengambil masa yang lama sebelum mata saya sepenuhnya pulih,” kongsinya.


































