Donald Trump mengancam untuk melaksanakan tarif yang meluas apabila mengambil alih Rumah Putih bulan depan.
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus terhadap blok sembilan negara sekiranya mereka mencipta mata wang saingan kepada dolar AS.
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di media sosial, Trump mendakwa tidak akan membiarkan idea negara-negara BRICS untuk cuba beralih daripada dolar.
“Idea bahawa negara-negara BRICS cuba untuk beralih daripada dolar AS, sementara kami berdiri dan sekadar menonton sudah TAMAT,” tulis Trump.
Kuasa besar dunia China dan Russia merupakan sebahagian daripada gabungan BRICS, bersama Brazil, India, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semasa pilihan raya AS, Trump berkempen untuk melaksanakan tarif yang meluas dan meningkatkan ancaman levi yang tinggi sejak kebelakangan ini.
STRATEGI RUNDINGAN
Mesej terbaharu daripada Trump, yang akan mengambil alih jawatan pada 20 Januari depan, ditujukan kepada blok BRICS, yang terdiri daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun.
Ahli politik terkemuka di Brazil dan Russia mencadangkan mata wang BRICS diwujud untuk mengurangkan penguasaan dolar AS dalam perdagangan global, tetapi perselisihan dalaman memperlahankan kemajuan itu.
“Kami memerlukan komitmen daripada negara-negara ini bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang baharu BRICS atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan dolar AS, atau mereka akan menghadapi 100 peratus tarif dan harus bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada peluang ekonomi AS yang hebat,” kata Trump di Truth Social.
Bagaimanapun, beberapa sekutu Trump menganggap pengumuman baru-baru ini adalah taktik rundingan, bertujuan untuk membuka tawaran daripada janji sebenar.
Ketika ditanya mengenai cadangan Trump untuk menggunakan tarif, Senator Republikan, Ted Cruz menjawab dengan menekankan kepentingan tindak balas atau cagaran.
“Anda melihat ancaman tarif terhadap Mexico dan Kanada, serta-merta menghasilkan tindakan,” kata Senator dari Texas itu kepada CBS News kelmarin.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau membuat lawatan tidak berjadual ke kediaman Trump di Mar-a-Lago, Florida, didakwa untuk mengelak kemungkinan tarif 25 peratus ke atas barangan Kanada yang menuju ke selatan.
Pilihan Trump untuk Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent sebelum ini mencadangkan bahawa ancaman Presiden yang dipilih untuk mengenakan kenaikan tarif utama adalah sebahagian daripada strategi rundingan.
“Pandangan umum saya ialah pada akhirnya, beliau adalah seorang peniaga bebas,” kata Bessent mengenai Trump dalam temu bual dengan Financial Times sebelum dicalonkan untuk jawatan itu.
BAGAIMANA TARIF BERFUNGSI?
Tarif ialah cukai domestik yang dikenakan ke atas barang semasa ia memasuki negara, berkadar dengan nilai import.
Contohnya, sebuah kereta yang diimport ke AS bernilai AS$50,000 (RM222,962) tertakluk kepada tarif 25 peratus, akan dikenakan caj sebanyak AS$12,500 (RM55,754).
Tarif merupakan sebahagian daripada visi ekonomi Trump, yang melihatnya sebagai cara untuk meningkatkan ekonomi AS, melindungi pekerjaan dan meningkatkan hasil cukai.
Sebelum ini, Trump pernah mendakwa bahawa cukai tidak akan menjadi kos kepada AS, sebaliknya kos kepada negara lain.
Dakwaan Trump itu hampir keseluruhan dianggap oleh ahli ekonomi sebagai mengelirukan.
Caj tersebut dibayar secara fizikal oleh syarikat domestik yang mengimport barangan, bukan syarikat asing yang mengeksportnya.
Dengan itu, tarif ini adalah cukai yang dibayar oleh syarikat domestik kepada kerajaan AS.
Trump pernah mengenakan beberapa tarif semasa penggal pertama pemerintahan terdahulu dan kebanyakannya masih diteruskan oleh Presiden, Joe Biden.
Kajian ekonomi menunjukkan sebahagian besar beban ekonomi akhirnya ditanggung oleh pengguna AS.


































