Sukarelawan mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di daerah Mueang di wilayah selatan Thailand.
BANGKOK: Jumlah kematian akibat banjir terburuk yang melanda selatan Thailand dalam beberapa dekad meningkat kepada 22 orang, dengan ribuan mangsa masih berada di kem-kem bantuan.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan, wilayah selatan Thailand dilanda hujan lebat serta banjir kilat sejak 22 November lalu, menjejaskan kira-kira 664,173 isi rumah.
Kira-kira 22,000 berpindah ke pusat perlindungan sementara setakat semalam, dan tujuh wilayah masih menghadapi banjir, kata jabatan itu dalam kenyataan.
Walaupun hujan mulai reda sejak beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi negara memberi amaran gelombang kedua dijangka melanda semula rantau itu akibat tekanan rendah dari Laut China Selatan yang dijangka bergerak melalui Teluk Thailand.
Sistem cuaca itu berkemungkinan menyebabkan hujan lebat dan banjir kilat antara 3 hingga 5 Disember, kata jabatan tersebut.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub berkata, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra mengarahkan pegawai untuk mempercepatkan usaha bantuan dan pemulihan.
Katanya, bantuan kewangan akan diberikan kepada setiap isi rumah yang terjejas, dengan Bank Simpanan Kerajaan diarahkan untuk menyediakan pinjaman mudah perniagaan bagi memulihkan kerugian.
Asia Tenggara sering dilanda banjir pada waktu ini setiap tahun akibat monsun, tetapi intensiti hujan pada 2024 adalah luar biasa.
Beberapa kawasan di Malaysia dan Indonesia turut dilanda hujan lebat, mengganggu operasi di ladang kelapa sawit serta getah.

































