SINGAPURA: Penjawat awam di Singapura akan menerima bayaran bonus akhir tahun 1.05 bulan gaji, dengan pegawai gred rendah mendapat bayaran sekali gus tambahan.
Menurut Utusan Malaysia, CNA melaporkan, perkara itu diumumkan Bahagian Perkhidmatan Awam (JPA) semalam.
Penjawat awam dalam gred bersamaan MX15 dan MX16, termasuk kakitangan dalam Skim Sokongan Operasi (OSS) akan menerima bayaran tambahan sekali sebanyak S$600 (RM1,985.64).
“Pembayaran akhir tahun ini mengambil kira Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura yang dijangka berkembang sekitar 3.5 peratus pada 2024 serta garis panduan Majlis Gaji Negara (NWC) untuk 2024/2025.
“Ia juga berikutan perundingan rapat dengan kesatuan sektor awam.
“Kerajaan akan terus membayar elaun tahunan tidak berpencen selama sebulan, juga dikenali sebagai bonus 13 bulan,” kata JPA.
Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) pada Jumaat lalu menaik taraf unjuran pertumbuhan ekonominya untuk 2024 kepada sekitar 3.5 peratus, melebihi julat ramalannya sebelum ini.
Menurut JPA, penilaian itu mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama tahun ini, serta situasi ekonomi global dan domestik terkini.
“Diambil bersama bayaran pertengahan tahun, penjawat awam akan menerima sejumlah 1.5 bulan dalam komponen pembolehubah tahunan setahun penuh, dengan mereka yang berada dalam gred lebih rendah menerima jumlah bayaran sekali gus sehingga S$850 (RM2,811.69) pada 2024.
“Tahun lalu, penjawat awam menerima bonus pertengahan tahun 0.3 bulan dan bonus akhir tahun 0.6 bulan, serta bonus 13 bulan,” tambah JPA.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cham Hui Fong berkata, pembayaran akhir tahun untuk penjawat awam mencerminkan pertumbuhan ekonomi paling kukuh Singapura sejak 2021 dan mengiktiraf sumbangan mereka tahun ini.
“Memandangkan kita melihat petunjuk ekonomi yang positif, NTUC terus menggalakkan penjawat awam meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka melalui program peningkatan kemahiran, memastikan mereka kekal berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Gabungan Pekerja Awam (AUPE), Sanjeev Kumar Tiwari berkata, kesatuan itu berunding untuk pembayaran tersebut bersama kesatuan sektor awam dan NTUC.
“AUPE percaya bahawa adalah penting apabila ekonomi kita berkembang dengan baik, penjawat awam kita yang telah menyumbang kepada kejayaan ini diberi ganjaran sewajarnya,” katanya.
Beliau menambah, AUPE menghargai kerajaan kerana menjaga pekerja berpendapatan rendahnya melalui bayaran sekali gus tambahan untuk pegawai rendah dan kakitangan dalam OSS.
“Sokongan yang dipertingkatkan ini akan membantu pegawai kami dalam kelompok pendapatan rendah menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.


































