Kebakaran memusnahkan sekitar 1,000 rumah di daerah Isla Puting Bato, salah satu penempatan setinggan yang padat di Manila.
MANILA: Kebakaran besar memusnahkan ratusan rumah di kawasan setinggan yang padat di ibu negara Filipina, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Jabatan Bomba Manila melaporkan, sekitar 1,000 rumah terbakar dalam kejadian yang dipercayai bermula di tingkat dua sebuah rumah di kawasan itu.
Tiada laporan kecederaan atau korban dilaporkan setakat ini.
Rakaman dron yang dikongsi oleh agensi bencana bandar menunjukkan banyak rumah di daerah Isla Puting Bato, Manila musnah terbakar.
Menurut bomba, kawasan setinggan itu menempatkan sekitar 2,000 keluarga.
Penduduk kampung, Leonila Abiertas, 65, kehilangan hampir semua hartanya, tetapi sempat menyelamatkan bekas abu mayat suaminya.
“Saya hanya sempat menyelamatkan bekas abu suami saya. Saya buntu bagaimana mahu memulakan hidup selepas kebakaran ini,” katanya.
Perkhidmatan bomba dan bencana mengerahkan 36 trak bomba dan empat bot, manakala tentera udara negara menghantar dua helikopter untuk membantu memadamkan kebakaran.
“Kawasan itu mudah terbakar kerana kebanyakan rumah di sana diperbuat daripada bahan ringan,” katanya pegawai bomba, Geanelli Nunez.
































