ISSAQUAH: Ribut besar melanda Barat Laut Amerika Syarikat (AS), membawa angin kencang dan hujan lebat yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik, penutupan sekolah serta pokok tumbang sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Ramalan Cuaca mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin taufan sehingga Jumaat, berikutan aliran kelembapan yang melanda California dan Barat Laut Pasifik, membawa kesan ribut kuat.
Sistem ribut yang melanda pada Selasa dianggap sebagai ‘bom siklon’, yang berlaku apabila taufan bertambah kuat dengan cepat.
Di California, perkhidmatan cuaca melanjutkan pemantauan banjir hingga Sabtu untuk kawasan di utara San Fransisco.
Hujan lebat diramalkan di utara California dan barat daya Oregon hingga Jumaat.
Amaran ribut musim sejuk dikeluarkan untuk kawasan utara Sierra Nevada pada ketinggian lebih 1,066 meter, dengan kemungkinan salji 28 sentimeter dalam dua hari.
Angin kencang dijangka melebihi 120 kilometer sejam di kawasan pergunungan.
Pokok tumbang melanda rumah dan menutup jalan di seluruh barat Washington.
Di Lynnwood, seorang wanita meninggal dunia pada malam Selasa apabila sebuah pokok besar tumbang di atas khemah gelandangan, menurut kenyataan South County Fire.
Di Bellevue, timur Seattle, seorang wanita terkorban apabila sebuah pokok tumbang di atas rumahnya pada malam yang sama, menurut pegawai bomba.


































