Arif Aiman Hanapi dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan gara-gara insiden pergaduhan dengan pemain Perak, Tommy Mawat Bada yang turut menerima nasib yang sama.
PETALING JAYA: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada yang dihukum gantung tiga perlawanan gara-gara bergaduh di atas padang sebelum ini dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman itu.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang turut memberitahu bahawa kedua-dua pemain itu diberikan amaran keras jika mengulangi kesalahan sama begitupun hukuman terbabit boleh dirayu.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pemain mendapat hukuman tambahan walaupun mereka sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Razlan Joffri Ali kerana insiden yang tercetus pada minit ke-83 di Stadium Sultan Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan media, FAM menjelaskan Arif Aiman dan Tommy didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.
“Arif Aiman menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy pada perlawanan terbabit dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia berdepan KL (Kuala Lumpur) Rovers dan satu aksi Liga Super menentang KL City FC.
“Tommy pula menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif pada perlawanan itu dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC dan satu aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman FC,” kata Baljit.
Terdahulu, pergaduhan antara Arif Aiman dan Tommy ketika aksi Liga Super di gelanggang JDT pada 10 November lalu mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.
Peminat mengkritik mutu pengadilan dengan menganggap Razlan sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman apabila bintang Harimau Selatan itu dilihat menumbuk Tommy.
Dalam masa masam, pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Ibrahim yang juga Pemangku Sultan Johor dalam laporan sebelum ini juga berpendapat pengadil seharusnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada perlawanan berkenaan.
































