Sukarelawan membantu penduduk yang terperangkap di kawasan banjir di daerah Naga di Filipina.
MANILA: Filipina mengarahkan pemindahan, penyimpanan bekalan makanan dan mengerahkan tentera dalam keadaan berjaga-jaga, sebagai persediaan menghadapi Taufan Yinxing.
Menurut Utusan Malaysia, pusat ribut taufan, yang membawa angin sehingga 120 kilometer sejam (km/j), dianggarkan berada sekitar 590 km dari bandar Baler di wilayah Aurora, kata agensi cuaca negeri Pag-asa.
Kementerian Kerajaan Tempatan menggesa penduduk di kawasan terpencil untuk berpindah lebih awal kerana dibimbangi pasukan penyelamat sukar membantu mereka semasa serangan ribut.
“Pelbagai agensi kerajaan bergabung tenaga untuk mengeluarkan amaran awal, merancang lebih awal dan menyediakan barangan serta perkhidmatan yang diperlukan,” kata Setiausaha Pertahanan, Gilberto Teodoro.
Selain menyediakan bekalan makanan, pegawai berkata, tentera turut diarah bersiap sedia untuk usaha menyelamat dan empangan melepaskan air lebih awal bagi mengelakkan banjir.
Agensi cuaca menjangkakan ribut itu melanda daratan antara 7 November dan 8 November di sekitar wilayah utata Cagayan, membawa hujan lebat ke bandar yang berada dalam laluannya.
Kira-kira 24 juta orang berkemungkinan terjejas akibat taufan itu.
Ribut itu adalah yang ketiga dalam tempoh kurang sebulan mengancam Filipina, selepas Ribut Trami dan Taufan Kong-rey, yang membunuh 151 orang dan 21 lagi hilang.






























