KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon membuat laporan polis di sini kelmarin berkaitan satu hantaran media sosial yang berbahaya dan palsu yang menyalahgunakan nama dan imej beliau.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, hantaran tersebut yang sedang tular di platform seperti TikTok, membuat tuduhan palsu yang menyasarkan komuniti tertentu dan memutarbelitkan nilai serta peranan beliau sebagai ADUN Tanjong Papat, Sandakan dan Pengerusi DAP Sabah.
“Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran tersebut bukanlah daripada saya, tidak mendapat sokongan atau kelulusan saya, dan tidak mencerminkan pendirian saya atau pendirian DAP dan Pakatan Harapan.
“Kandungan ini adalah hasil kerja individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi dan menyebarkan kenyataan palsu untuk tujuan perpecahan.
“Saya mengecam perbuatan fitnah ini, yang hanya bertujuan untuk mencetuskan perselisihan dan mencemarkan reputasi,” tegasnya.

Poon (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat beliau.
Sebagai wakil rakyat yang dipilih, Poon berkata, beliau komited untuk berkhidmat kepada semua komuniti di Sabah dengan hormat dan perpaduan.
“Retorik yang memecahbelahkan ini bertentangan dengan semua yang saya perjuangkan serta dedikasi saya untuk memajukan kemajuan bersama semua rakyat Sabah.
“Saya menyeru semua pihak untuk sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi dalam talian.
“Terima kasih kepada semua yang telah menyampaikan sokongan. Saya yakin pihak berkuasa akan menyiasat dan menangani perkara ini dengan sewajarnya,” katanya.
































