Pau Marti Vicente
PETALING JAYA: Kejohanan ASEAN AFF Mitsubishi Cup 2024 akan menjadi ujian terbesar buat pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente membuktikan kemampuannya mengendalikan skuad kebangsaan.
Menurut Utusan Malaysia, kegagalan sekurang-kurangnya layak ke final pada kejohanan yang berlangsung pada Disember ini akan memberi impak besar kepada kedudukan jurulatih dari Sepanyol itu selaku pengendali Harimau Malaya.
Dalam aksi Kejohanan ASEAN AFF Mitsubishi Cup 2024, anak-anak buah Pau Marti berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, selain Singapura, Kemboja dan Timor Leste.
“Kegagalan atau kejayaan di Piala AFF juga akan menentukan sama ada skuad Harimau Malaya memerlukan rombakan besar-besaran.
“Samada keperluan membawa masuk lebih ramai pemain warisan atau kembali memberi ruang kepada pemain tempatan juga akan ditentukan dari kejohanan ini bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia Mac depan.
“Memandangkan Piala AFF ini dilaksanakan sebelum AFC Champions League dan AFF Club Championship serta liga tempatan berhenti rehat, maka semua pemain yang bermain di liga tempatan bersedia untuk beraksi bagi Harimau Malaya,” kata pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim.
Mengulas lanjut, kata Zakaria, tiada alasan dan keperluan untuk mana-mana kelab tidak melepaskan pemain masing-masing walaupun mengikut peraturan FIFA, kelab mempunyai kuasa untuk tidak lepaskan pemain mereka kerana Piala AFF ini bukan dalam kalender badan induk itu.
“Maka, untuk tergesa-gesa membawa masuk pemain warisan yang berkontrak di liga Eropah untuk Piala AFF bukanlah idea yang realistik dan membantu. Sudah pasti mereka tidak akan mendapat pelepasan,” katanya bekas pengurus Selangor itu.
Harimau Malaya akan membuka tirai aksi Piala AFF dengan menentang Kemboja pada 8 Disember sebelum menentang Timor Leste (11 Disember), Thailand (14 Disember) dan Singapura pada 20 Disember.
































