Pemandangan dari struktur tepi laut sebelum Taufan Milton mendarat di Pantai St. Pete, Florida.
TAMPA: Florida, yang masih terkesan dengan ribut sebelum ini, kini berdepan ancaman baharu daripada Taufan Milton sebagai ribut Kategori 5.
Menurut Utusan Malaysia, ancaman taufan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dan kekurangan bahan api apabila pihak berkuasa mengarahkan lebih sejuta orang berpindah sebelum ia melanda Teluk Tampa.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa penduduk supaya segera berpindah dan memberi amaran taufan tersebut berpotensi menjadi bencana alam terburuk yang melanda negeri itu dalam tempoh seabad.
“Ia soal hidup dan mati dan ini bukan keterlaluan,” kata Biden dari White House, semalam.
Milton, menjadi salah satu taufan Atlantik paling kuat yang pernah direkodkan, diramal mendarat di pantai Teluk Florida hari ini dan awal esok.
Bencana baharu ini mengancam sebahagian besar kawasan pantai barat Florida yang padat penduduk dan masih dalam fasa pemulihan selepas dilanda Taufan Helene, dua minggu lalu.
Taufan dijangka membadai Teluk Tampa akan menjadi yang pertama sejak tahun 1921, ketika kawasan Tampa-St. Petersburg-Clearwater yang kini pesat membangun masih dianggap kawasan pedalaman.
Hari ini, kawasan itu didiami lebih tiga juta penduduk.
Sehingga semalam, Taufan Milton kembali kuat kepada Kategori 5 dengan angin maksimum mencecah 270 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan.
“Medan angin Taufan Milton dijangka berkembang ketika ia menghampiri Florida.
“Malah, ramalan rasmi menunjukkan saiz angin taufan dan ribut tropika akan meningkat kira-kira dua kali ganda pada masa ia mendarat,” kata pusat itu.


































