SINGAPURA: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran tidak akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan selepas disabitkan dengan lima kesalahan rasuah.
Menurut Utusan Malaysia, perkara tersebut dimaklumkan Iswaran dalam satu kenyataan di Facebooknya, semalam.
“Saya tidak akan merayu hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, adalah penting baginya apabila pendakwa raya meminda pertuduhan rasuah terhadapnya.
“Saya menerima bahawa sebagai seorang menteri, apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan saya dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Singapura.
“Kesejahteraan keluarga saya dan beban emosi yang ditanggung oleh orang tersayang akibat perbicaraan panjang yang akan berlanjutan hingga 2025, dan mungkin lebih lama juga membebankan saya.
“15 bulan yang lalu sudah menjadi sangat sukar. Dengan keputusan ini, saya berharap kita dapat meninggalkan kesakitan dan kesedihan, bergerak ke hadapan serta membina semua kehidupan bersama,” katanya.
Bekas menteri itu dijatuhkan hukuman penjara pada Khamis lalu, kerana menerima suapan bernilai kira-kira S$403,300 (RM1.3 juta) daripada dua ahli perniagaan, dan juga kesalahan menghalang proses keadilan.
Iswaran, 62, mengaku bersalah pada 24 September, yang sepatutnya menjadi hari pertama perbicaraannya, selepas pihak pendakwaan meminda dua pertuduhan rasuah kepada tuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Seksyen 165 merujuk kepada seorang penjawat awam yang menerima barangan berharga daripada seseorang yang berkaitan dengan urusan rasmi atau fungsinya.
































