Ribuan menyertai festival larian lembu San Fermin di tengah Pamplona di utara Sepanyol.
PAMPLONA, Sepanyol: Bandar Pamplona yang terkenal dengan festival larian lembu San Fermin, mengehadkan kemasukan pelancong selepas penduduk dilapor terkesan dengan kenaikan harga sewa rumah dan ekonomi tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, portal pelancongan Travel and Tour World melaporkan, keputusan itu diambil susulan rasa tidak puas hati penduduk berikutan kadar sewaan rumah yang semakin meningkat antaranya disumbangkan kemasukan pelancong yang ramai ke bandar ini.
Penduduk bahkan mensabotaj kotak kunci di luar pangsapuri sewa jangka pendek dengan gam dan silikon semasa musim festival.
Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Pamplona kini tidak lagi mengeluarkan lesen baharu untuk pangsapuri pelancong jangka pendek di bandar bersejarah ini.
Ia bagi menangani isu seperti kenaikan harga rumah baik untuk sewa mahupun jualan, serta impak negatif terhadap perniagaan tempatan.
Majlis itu berpendapat, harga tinggi pangsapuri pelancong menyumbang kepada masalah dalam pasaran perumahan, menjadikan penduduk tempatan sukar mencari tempat tinggal yang mampu milik.
Wakil Parti EH Bildu, Joxe Abauerra berkata, langkah itu perlu untuk memelihara identiti Pamplona dan menyokong pelancongan yang lestari.
Beliau menekankan, tindakan majlis bertujuan mengekalkan bandar lama ini sebagai kawasan kediaman dan perniagaan untuk warga tempatan dan bukannya pelancong.
Tindakan berkenaan dibuat susulan trend yang lebih luas di Sepanyol apabila beberapa wilayah termasuk Barcelona, Majorca dan Kepulauan Canary, menyaksikan protes terhadap pelancongan berlebihan.
Satu tinjauan terkini oleh YouGov menunjukkan, bahawa satu pertiga rakyat Sepanyol percaya negara mereka terlalu banyak pelancong, dengan Catalonia menjadi yang paling terkesan di mana 48 peratus penduduk menyatakan ketidakpuasan mereka.


































