Anwar Ibrahim berucap pada majlis pecah tanah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Parit Buntar hari ini.
PARIT BUNTAR: Kelulusan sesuatu projek pembangunan untuk rakyat dan pelaburan asing perlu dipercepatkan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak mustahil untuk dilaksanakan malah sudah dibuktikan menerusi pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dalam tempoh yang singkat.
Anwar berkata, Perbadanan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang membangunkan KIGID mendapat tekanan luar biasa termasuk daripada beliau sendiri apabila memberikan tarikh untuk projek tersebut dilancarkan.
Katanya, namun projek berkenaan berjaya dilancarkan hari ini atas kerjasama kerajaan negeri yang memberikan kelulusan pembangunan dalam masa yang cukup pantas.
“Projek ini (KIGID) kita bagi kelonggaran. Kita sudah buktikan dengan kesediaan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang memberi kelulusan segera. Saya ingat ini satu rekod yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Maknanya kalau kita betul-betul ada keputusan, jalankan dengan ikhlas, kita boleh segera luluskan. Seperti projek perumahan yang saya luncurkan (di Kuala Lumpur) semalam, bayangkan projek 800 unit rumah setingigi 40 tingkat, tapi dengan semua syarat-syarat yang ketat namun diluluskan dalam tempoh 45 hari. Kenapa perlu tunggu sampai 45 bulan untuk diluluskan?
“Kalau kita ada tekad dan kesungguhkan untuk laksanakan projek yang memberikan faedah kepada rakyat, kita boleh laksanakan dalam tempoh yang cepat. Ini bermakna tidak ada sebab tidak boleh diberikan kelulusan yang begitu cepat bagi projek pembangunan yang memberi faedah kepada rakyat.
“Sebab itu harus ada anjakan dari keputusan kerajaan dalam perkara ini supaya kelulusan segera diberikan untuk projek pembangunan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah KIGID di sini hari ini.
Anwar berkata, tahap kelulusan yang cepat juga penting untuk menarik pelabur asing dan merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan.
Menurutnya, ini kerana kelewatan memberikan kelulusan untuk projek pelaburan asing antara perkara yang membimbangkan pelabur luar.
“Apakah benar kita efisien dalam menarik pelabur asing? Dalam hal ini saya syorkan kepada jemaah menteri kita bandingkan dengan negara berdekatan seperti Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, baru kita tahu sama ada kita cekap atau tidak dari segi menarik pelabur asing.
“Apabila kita buat perbandingan, ada bidang yang kita agak cekap tapi ada banyak bidang yang agak kita ketinggalan, jadi kita pelajari daripada kelemahan itu.
“Apabila kita kaji semula, pelaburan syarikat besar seperti Google, Microsoft dan Amazon di negara ini selepas mereka dapati Malaysia antara negara yang menunjukkan prestasi dan tahap kecepatan kelulusan yang membanggakan, maka kita peroleh pelaburan yang besar,” katanya.
Sementara itu, terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapan berkata, kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG)) telah menyelesaikan semua urusan melibatkan pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek KIGIP.
Menurutnya, urusan penyambungan sembilan hak milik baru atas nama Sime Darby di KIGIP telah dikeluarkan hanya dalam tempoh tiga hari melibatkan tanah berkeluasan 742.6334 hektar.
“Kerajaan Negeri melalui PTG juga mengambil langkah proaktif menyegerakan urusan pertukaran nama daripada Sime Darby kepada SD Guthrie Berhad melibatkan sembilan hak milik dalam tempoh hanya satu hari bagi membolehkan tindakan selanjutnya boleh dilakukan pemilik tanah,” katanya.































