M. Kumar menunjukkan peralatan membuat dadah yang dirampas pada sidang media di IPK, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri antara tujuh ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan polis Johor bersama dadah bernilai lebih RM10 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 12 Ogos lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan serta dua wanita asing berusia antara 22 hingga 38 tahun.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan dalam serbuan dijalankan bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 2 petang di dua unit pangsapuri dan sebuah rumah teres.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan rumah kediaman sewa di kawasan komuniti ‘gated and guarded’ sebagai lokasi proses dan pembungkusan sebelum diedar ke pasaran.
“Antara dadah dirampas termasuklah 59,627 gram (g) serbuk ekstasi: 93.40g ketamin; 79g pil ekstasi; 103.1g pil Eramin 5 dan 41g ganja bernilai RM10,001,122,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Tambah Kumar, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah manakala ujian urin menunjukkan enam daripada mereka positif dadah jenis meth, ketamin dan benzo.
“Jika semua dadah ini dibiarkan di pasaran, ia boleh digunakan seramai 199,644 orang penagih.
“Selain itu, polis turut menyita pelbagai barangan antaranya empat buah kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai matawang tempatan dan asing dengan nilai RM235,257.
“Keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan sitaan bernilai RM10.23 juta. Ini merupakan jumlah rampasan dadah kedua tertinggi di Johor, tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Kumar turut memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti dalang sindiket yang aktif sejak bulan Mei itu dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
“Dalang sindiket ini dikenalpasti sebagai Lo Show Shang, 36, yang beralamat di Taman Perling, Johor Bahru.
“Tempoh tahanan reman kesemua suspek kini disambung sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya lanjut.
Kumar turut memberitahu, sejak 1 Januari hingga 17 Ogos, polis Johor telah menahan seramai 16,241 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dan membuat rampasan dadah bernilai RM52.09 juta.


































