Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan angka besar peruntukan pembangunan tanpa melihat perbezaan antara nilai keseluruhan projek, peruntukan tahunan, jumlah disalurkan dan perbelanjaan sebenar, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.
Beliau berkata, apabila disebut sesuatu projek bernilai berbilion ringgit, ia tidak bermaksud wang berbilion itu telah pun dibelanjakan dalam satu tahun, sebaliknya pelaksanaan projek dibuat mengikut tempoh dan kemajuan masing-masing.
“Lebih penting, tanggungjawab pelaksanaan sesuatu projek perlu dilihat berdasarkan siapa yang memegang kuasa pada setiap peringkat projek, bukan semata-mata berdasarkan jumlah keseluruhan yang diumumkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Azrul berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi isu Bekalan Air Luar Bandar (BALB), apabila bagi 2026 sebanyak 83 projek diluluskan di Sabah dengan kos keseluruhan sekitar RM4.065 bilion, tetapi peruntukan bagi tahun berkenaan ialah RM143 juta.
“Maknanya, RM4.065 bilion bukanlah wang yang telah dibelanjakan dalam satu tahun. Ia merupakan nilai keseluruhan projek yang pelaksanaannya dibuat mengikut tempoh dan kemajuan projek,” katanya.
Azrul berkata, kuasa pelaksanaan 83 projek BALB itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada April 2026, namun nilai keseluruhan RM4.065 bilion tetap tidak bermaksud jumlah berkenaan telah disalurkan atau dibelanjakan pada tahun ini.
Katanya, sebahagian projek masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan, manakala sebahagian yang lain sedang dalam pembinaan atau sudah siap.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui sebahagian projek BALB berdepan kelewatan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Jadi apabila ada pihak mengambil angka RM4 bilion lalu bertanya, ‘Ke mana duit itu pergi?’, rakyat perlu diberikan gambaran yang sebenar. Kalau projek belum berjalan, kita perlu tahu mengapa. Kalau berlaku kelewatan, kita perlu tahu puncanya. Kalau terdapat masalah pelaksanaan, ia perlu diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, projek pembangunan mempunyai tempoh perancangan dan pelaksanaan yang berbeza, termasuk berdepan isu tanah, perolehan, reka bentuk, kelulusan, pelantikan perunding, kontraktor serta penyelarasan antara agensi.
“Rekod masa lalu perlu dilihat sebagai konteks, bukan alasan. Pentadbiran hari ini tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan projek yang telah diluluskan bergerak dan memberi hasil kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, rekod peruntukan pembangunan luar bandar sebelum ini juga perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan, termasuk rekod Parlimen yang menunjukkan RM8.01 bilion diluluskan bagi tempoh 2010 hingga 2016 untuk tiga kategori utama pembangunan luar bandar Sabah iaitu RM3 bilion bagi Bekalan Elektrik Luar Bandar, RM2.08 bilion bagi BALB dan RM2.93 bilion bagi Jalan Luar Bandar.
Katanya, jumlah peruntukan semata-mata bukan ukuran tunggal kejayaan pembangunan, sebaliknya yang lebih penting ialah pelaksanaan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat.
“Sebab itu Kerajaan Negeri teraju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menuntut hasil, bukan sekadar angka. Kerajaan tidak mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan. Sebaliknya, pendirian kerajaan jelas, kalau sudah diperuntukkan, mesti dilaksanakan. Kalau projek sudah diluluskan, pastikan ia bergerak,” katanya.
Azrul berkata, jika berlaku kelewatan, puncanya perlu dikenal pasti, manakala jika peruntukan tidak mencukupi, perkara itu perlu dibawa untuk penyelesaian dan sekiranya memerlukan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, kedua-dua pihak perlu duduk bersama mencari jalan.
“Kerana Kerajaan Negeri bukan mahu sekadar melihat angka besar dalam dokumen belanjawan. Kerajaan mahu melihat hasilnya di lapangan.
“Rakyat Sabah tidak perlukan angka semata-mata, rakyat perlukan hasil. Dan itulah yang akan terus kita tuntut dan perjuangkan bersama,” katanya.






























