Tengku Zafrul Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kaedah pelaksanaan cukai karbon dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau dalam kalangan industri di negara ini, terutamanya melibatkan sektor yang membuat pelepasan karbon tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pendekatan berbentuk ganjaran dan hukuman (carrot and stick) adalah penting dalam memastikan ketelusan dan persekitaran yang adil buat perniagaan.
Katanya, dari segi stick (hukuman), semua negara maju bergerak ke arah cukai karbon dan pihaknya sedang berbincang bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk melihat bagaimana ini boleh dilaksanakan.
“Ia telah dibincangkan pada Majlis Pelaburan Negara dan MoF telah diberi garis masa untuk melihat perkara ini dan mereka memerlukan lebih masa untuk mengkajinya secara holistik.
“Cuma untuk bagi idea, hanya satu sektor dari sektor pembuatan menyumbang hampir 25 peratus daripada pembebasan karbon negara.
“Pendekatan stick perlu bagi memastikan syarikat-syarikat ini patuh (kepada usaha mengurangkan pembebasan karbon),” katanya pada sesi pengumuman Strategi Pelaburan Hijau (GIS) Malaysia di Menara MITI, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul memaklumkan cukai karbon tidak akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada 18 Oktober ini kerana pelaksanaannya memerlukan masa dan masih dalam peringkat kajian.
Menurutnya, sekiranya cukai karbon tidak dibuat, syarikat tidak mempunyai insentif yang banyak bagi melaksanakan pelaburan untuk mengurangkan pembebasan karbon masing-masing, kerana ia melibatkan kos yang lebih tinggi.
“Jadi tidak ada persekitaran perniagaan yang adil, kos mereka akan menjadi lebih tinggi dan kurang kompetitif berbanding syarikat yang tidak melabur dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon,” ujarnya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, MITI menyasarkan menarik pelaburan hijau bernilai RM300 bilion menjelang tahun 2030 menerusi GIS bagi mencapai komitmen pelepasan karbon sifar bersih Malaysia.
Katanya, Malaysia telah merealisasikan pelaburan hijau kira-kira RM40 bilion antara tahun 2017 dan 2023 dan kementerian merancang untuk meningkatkannya kepada RM300 bilion menjelang 2030.
“Ini adalah peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda yang diperlukan dan selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara, yang bertujuan untuk mencapai RM300 bilion dalam dekad yang akan datang supaya kami dapat mencapai pelepas karbon sifar menjelang tahun 2050.
“Pelaburan hijau memerlukan beberapa langkah untuk meningkatkan pelaburan asing (FI) dan pelaburan domestik (DI).
“Jumlah pelaburan perlu ditingkatkan sebanyak kira-kira 7.5 kali ganda berbanding jumlah semasa untuk mencapai matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP),” ujarnya.


































