Pasukan bomba bersiap sedia untuk gerakan mencari dan menyelamat pelajar yang hilang.
LUNDU: Dua pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki dilaporkan masih belum dijumpai dalam kejadian perahu tambang yang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, dalam kejadian jam 6.10 pagi tadi, sebuah perahu tambang yang membawa antara 10 hingga 20 pelajar telah karam dan menyebabkan tjga pelajar terbabit dikhuatiri hanyut dibawa arus sungai dan sehingga berita ini ditulis masih belum dijumpai.
“Pencarian awal dilakukan penduduk kampung menggunakan bot-bot mereka sendiri dan pada pukul 7. 28 pagi seorang mangsa lelaki berjaya dijumpai oleh penduduk kampung dalam keadaan selamat.
“Pada pukul 7:37 pagi pihak bomba menerima maklumat terkini terdapat 12 orang pelajar telah berjaya menyelamat diri dalam keadaan selamat, manakala tiga mangsa masih belum dijumpai,” tambahnya.
Sehingga pukul 8. 05 pagi mangsa yang selamat adalah 12 orang dan mangsa yang belum dijumpai adalah tiga orang, iaitu seorang pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.
“Kerja-kerja pencarian dan menyelamat masih dilakukan oleh penduduk kampung.
“Pasukan bomba bersama sebuah bot aluminium bergerak ke lokasi kejadian untuk membantu gerakan mencari dan menyelamat,” jelasnya.
Mangsa yang masih hilang dikenali dengan nama Abraham Nyoeng, 16, seorang pelajar lelaki yang dijumpai dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung.
Mangsa yang belum dijumpai ialah pelajar perempuan Alsma Jithil, 14, Helena Fasha Petrus, 17, dan pelajar lelaki Vilkie Wilson, 15.


































