Azizi Mat Aris menunjukkan sebahagian barang yang dirampas dalam serbuan di dua rumah yang dijadikan pusat panggilan penipuan pekerjaan tidak wujud di Taiping, Khamis.
IPOH: Polis menumpaskan operasi pusat panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud selepas menyerbu dua buah rumah di Taiping, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 11 individu termasuk empat wanita warga tempatan berusia 21 hingga 26 tahun turut ditahan dalam serbuan pada pukul 1.30 petang itu.
Katanya, sindiket yang menjalankan penipuan secara dalam talian itu menyasarkan mangsa dari Malaysia dan Singapura.
“Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melalui laman media sosial dengan membuka sebuah pusat operasi yang dinamakan sebagai ‘Calling Center’.
“Sindiket tersebut baru dua minggu beroperasi dengan kesemua individu yang ditahan termasuk seorang wanita hamil itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini kelmarin.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, beberapa barang kes dirampas termasuk tujuh unit komputer riba, 35 unit telefon bimbit, 98 keping kad mesin juruwang automatik (ATM), barangan kemas, lima buah kenderaan, wang tunai RM1,600 dan seutas jam tangan dengan jumlah keseluruhan RM500,000.
“Dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 130 kes penipuan pekerjaan tidak wujud di seluruh negara
“Sepuluh suspek yang ditangkap telah direman empat hari sehingga Ahad ini manakala seorang lagi suspek yang hamil pula direman sehari,” ujar beliau.
Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
































