PENAMPANG: Lebih 600 belia dan ahli urus setia Kementerian Belia dan Sukan Sabah berkampung di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, baru-baru ini untuk karnival Amazing Youth Race.
Pengelola bersama acara, Steve Johnny Mositun berkata, program itu dijalankan pada 10 Ogos sempena Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibarkan Bendera.
Antara pengisian adalah Pertandingan Orang kuat, Kayuhan Berbasikal Merdeka sejauh 16 KM, Youth Race Tresure Hunt, Perkhidmatan Komuniti Belia (Gotong Royong) membersihkan kawasan kampung Koidupan dan sekitar kawasan KDCA dengan penyertaan pelajar sekolah, penuntut IPTA dan IPTS, Kempen Derma Darah, Pertandingan Karya Kreatif Bahan Kitar Semula dan Penyerahan Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) 2024.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan merasmikan acara tersebut.

Beliau mengingatkan para belia bahawa slogan Sabah Maju Jaya adalah Slogan Jata Negeri sejak sekian lama dan telah diangkat oleh Kerajaan Negeri.
Beliau juga menyeru para belia sebagai pemimpin pelapis masa hadapan untuk menanam semangat Cintakan Sabah dan Negara sambil mengekalkan perpaduan di antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan.
Kerajaan komited dalam memastikan para belia diberikan perhatian dan didengar, serta menjadikan pembangunan belia adalah agenda utama.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Haji Asun, Timbalan Setiausaha Tetap, Charles William Dabbi dan Adnan Atin, Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong, Ketua Polis Penampang, Superintenden Sammy Newton, Setiausaha Eksekutif KDCA, Jackson James yang mewakili KDCA dan tiga pemenang pertandingan Unduk Ngadau Kebangsaan 2024.
Acara tersebut diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penerangan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Persekutusan Negeri Sabah, Lembaga Sukan Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah, Majlis Belia KDCA, Majlis Perbandaran Penampang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, PESAKA dan JKKK Kg, Koidupan.
Bagi Pertandingan Orang Kuat (Novis), Fenno Duing, 25, yang bertugas sebagai penjawat awam di Kementerian Belia dan Sukan muncul juara, manakala Ronald Janssen Mansuet sebagai Naib Johan.
Seramai 26 orang menyertai pertandingan ini.


































