Tangkap layar video tular memaparkan aksi seorang lelaki menjatuhkan basikalnya ke arah sebuah kereta yang melalui jalan raya di Taman Rakyat, Alor Setar.
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang sengaja menjatuhkan basikalnya terhadap sebuah kereta hingga dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan di Taman Rakyat, di sini merupakan pesakit autisme.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Salawati Saad berkata, individu terbabit berusia 24 tahun dan polis sudah memanggil waris lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang, Jumaat lalu. Setakat ini kami belum menerima laporan daripada mana-mana pihak mengenai kejadian itu namun tindakan sewajarnya telah diambil setelah video itu tular bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Kejadian sebegini tidak hanya boleh mendatangkan bahaya kepada pelaku, malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sejak awal pagi ini, terdapat dua klip video dari kamera papan pemuka sebuah kenderaan memaparkan mengenai kejadian itu, tular di media sosial.
Dalam klip video pertama berdurasi sembilan saat, lelaki itu dilihat seolah-olah sengaja menjatuhkan basikalnya menyebabkan pemilik kenderaan terbabit hampir melanggarnya.
Sementara klip video kedua berdurasi 15 saat memaparkan dia dilihat mengangkat basikalnya sebelum menghempaskan ke sebuah kereta lain yang melalui jalan itu.
Tambah Salawati, pihaknya meminta saksi kejadian untuk menghubungi polis bagi membantu siasatan dengan tampil ke IPD Kota Setar atau menghubungi talian 04-747222.


































