Noor Azman Rahman
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berbincang dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mencari jalan penyelesaian berhubung dakwaan terhadap Kuala Lumpur (KL) City FC yang mengemukakan dokumen tidak tepat dalam proses mendapatkan lesen kebangsaan.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, perkara itu harus diselesaikan dengan sewajarnya bagi mengelak kesan lebih besar termasuk tindakan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Betul (bahaya jika FIFA tahu). Kita akan mengadakan perbincangan dengan MFL dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Sebelum ini, FIB mengumumkan enam hukuman terhadap KL City FC atas deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab sebelum ini.
Bagi hukuman berdasarkan lesen kebangsaan, KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Sementara itu, berdasarkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula, skuad City Boys dikenakan hukuman tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024-2025 dan 2025-2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan.
Sementara itu, Noor Azman mengakui AFC sentiasa memberikan nasihat kepada FAM untuk menangani isu terbabit dengan lebih berhati-hati.
“Saya tak nampak AFC campur tangan. AFC beri saranan dan (Setiausaha Agung AFC) Datuk Windsor Paul John juga suruh kami menangani perkara itu.
“Kami pun ada hantar surat kepada MFL dan mereka pun sudah menyiasat. Selepas itu FIB (First Instance Body) pun menyiasat dan sudah keluarkan kenyataan,” katanya.
































