Salina Abdullah
DUNGUN: Seorang wanita kemurungan yang dilaporkan tidak pulang ke kediamannya di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, dekat sini, sejak Isnin lalu, ditemukan selamat selepas empat hari usaha pencarian dilakukan.
Maisarah Zailan, 29, berkata, ibunya, Salina Abdullah, 50, ditemukan dalam keadaan sihat dan baik kira-kira pukul 12.45 tengah hari Khamis.
“Alhamdulillah, mak saya ditemukan dalam keadaan sihat dan selamat.
“Namun, atas persetujuan dan bagi menghormati semua ahli keluarga, kami tidak dapat mendedahkan lokasi mak saya ditemukan,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin
Anak sulung daripada lima adik beradik itu berkata, dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu mencari ibunya.
Utusan Malaysia pada 24 Julai lalu melaporkan, Salina yang mengidap kemurungan tahap dua tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan memandu Perodua Alza berwarna putih.
Usaha pencarian wanita itu turut dilakukan suaminya, Zailan Md. Noor, 54, yang bekerja di Kuala Lumpur di sekitar ibu negara dan ahli keluarganya di beberapa daerah di negeri ini termasuk Kemaman dan Besut selepas wanita itu gagal dikesan kerana tidak mempunyai telefon bimbit.


































