Murid yang meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan di Sandakan.
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri mengesahkan kes keracunan makanan yang mengakibatkan seorang murid meninggal dunia di Sandakan bukan berlaku di sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, siasatan awal pihak sekolah mendapati murid keracunan makanan di rumah dan ibu kepada murid tersebut turut dimasukkan ke wad Hospital Duchess of Kent kerana mengalami simptom keracunan makanan.
Beliau berkata, keracunan makanan bukan disebabkan makanan di kantin sekolah kerana ia hanya melibatkan seorang murid.
“Murid tersebut bersama ibunya mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah dan kedua-dua mereka dimasukkan ke wad.
“Namun, murid-murid lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini (Khamis),” katanya dalam satu kenyataan.
Raisin berkata, murid tahun empat yang dikenali sebagai Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal,10, dilaporkan tidak hadir ke sekolah kerana keracunan makanan pada Selasa dan diberi cuti sakit selama dua hari.
Namun pada Khamis, guru kelas dimaklumkan oleh keluarga murid bahawa murid berkenaan tiba-tiba pengsan pada malam Rabu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
“Guru kelas dimaklumkan pada pukul 7 pagi semalam (Khamis) oleh waris murid bahawa Mohd. Mifzal telah meninggal dunia. Guru besar bersama beberapa orang guru telah melawat jenazah di rumah neneknya di Kampung Tinusa tengah hari semalam (Khamis),” katanya.
Menurut Raisin, kes berkenaan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Sandakan dan Jabatan Pendidikan melalui Pejabat Pendidikan Daerah bersedia membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.
Kata beliau, laporan lengkap mengenai kes tersebut akan dikeluarkan selepas semua siasatan telah selesai oleh PKK Sandakan.
Pada Isnin, kes keracunan makanan turut dilaporkan berlaku yang membabitkan 103 murid SK Pulau Gaya, Kota Kinabalu dan kesemua mereka keracunan makanan akibat makan nasi lemak di sekolah.


































