Winnie Ng Yu Yuan bergambar bersama trofi Piala Tuanku Bahiyah pada Terbuka Wanita Amatur 2024 di Kelab Golf Diraja Selangor, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Pemain golf negara, Winnie Ng Yu Xuan berjaya merangkul gelaran juara dalam Piala Tuanku Bahiyah bagi Kejohanan Terbuka Wanita Amatur 2024 yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, kejohanan yang bermula pada 23 hingga 25 Julai itu menyaksikan penyertaan dari beberapa negara termasuk Singapura, Pakistan, Australia, India, Jepun dan Korea.
Menariknya, pemain yang berusia 23 tahun itu turut mengetepikan cabaran dari rakan sepasukan antaranya Wang Xin Yao, Sohniya Chandra Mohan, Pang Hee Jie dan Siti Nur Husna dalam saingan Divisyen 1 bagi Top 12 54-Hole.
Beliau juga berkata, kemenangan itu merupakan hadiah hari kelahiran yang paling berharga buat pemain muda tersebut.
“Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana 19 Julai lalu merupakan hari lahir saya. Jadi, saya anggap kemenangan ini sebagai hadiah paling berharga,” kata Winnie.
Beliau turut berkongsi perasaannya mengenai saingan yang dihadapinya dalam kejohanan tersebut. Meskipun berjaya mengetepikan cabaran dari 12 pemain termasuklah rakan sepasukan, Winnie tetap merendah diri dan mahu mengekalkan momentum positif.
“Bagi saya, pesaing terdekat ketika ini jika melihat kepada ranking ialah Ng Jing Xuen. Saya tidak meletakkan sasaran tapi setiap kejohanan yang saya ikuti, saya hanya akan mahu melakukan yang terbaik dan kekal berdisiplin,” ujarnya.
Winnie berharap agar kemenangannya ini dapat memberi inspirasi kepada pemain golf muda lain untuk terus berusaha dan mengejar impian mereka.
Kejayaan Winnie dalam kejohanan ini merupakan satu lagi bukti bahawa pemain golf negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama Malaysia.


































