KOTA KINABALU: Jabatan Pertanian Sabah dan Borneo Grains Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, kelmarin.
Ia ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jifrin Haji Mohammad dan Pengerusi Borneo Grains, Dr. Mathan Mohan Rao, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan
Dr. Jeffrey berkata, Borneo Grains menyedari kepentingan amalan teknik penanaman padi yang inovatif sehingga menjalankan lawatan penyelidikan ke Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Lawatan-lawatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan mengenai teknologi penanaman padi terkini untuk meningkatkan hasil pengeluaran dengan berkesan.
Sementara itu katanya Borneo Grains sedang giat mencari sokongan kewangan untuk memajukan inisatif khususnya untuk pembangunan sawah terbiar di Sabah.
Selain itu, Borneo Grains juga mempelbagaikan aktiviti pertanian dengan menanam pelbagai jenis tanaman lain, dan kini sedang dalam proses membangunkan ladang ikan di Tuaran.
Visi jangka panjang Borneo Grains ialah memberi sumbangan yang signifikan kepada industri makanan Sabah dengan matlamat untuk menjadikan Kota Marudu sebagai hab utama bekalan padi dan beras.
“Kampung Taiwan akan diiktiraf sebagai tapak perintis untuk transformasi ini.
“Secara ringkas, Borneo Grains berdedikasi untuk merevolusikan pertanian di Sabah melalui inovasi, pemerkasaan komuniti dan kerjasama strategic bagi memastikkan industri pertanian dan makanan dibangunkan di rantau ini,” katanya.
































