Albertine Leo Jia Hui
JOHOR BAHRU: Ahli Keluarga kanak-kanak yang diculik, Albertine Leo Jia Hui, 6, tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelima-lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar yang mengesahkan perkara itu memberitahu, ibu bapa kanak-kanak itu juga tidak mengenali suspek kelima, iaitu lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis yang disyaki melarikan dan mengurung mangsa di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor, kelmarin.
“Setakat ini, jumlah tangkapan masih kekal lima orang. Reman empat daripada mereka akan tamat esok, jika tiada keperluan mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala reman ke atas suspek terakhir akan tamat pada 29 Julai.
“Saya ingin tegaskan bahawa ibu dan bapa mangsa tidak mengenali kesemua suspek, namun siasatan masih diteruskan sama ada kelima-lima suspek mengenali satu sama lain.
“Motif penculikan dan hubungan antara kelima-lima suspek juga masih dalam siasatan. Persoalan berkaitan baju tertera logo festival yang dipakai suspek kelima, pakaian itu boleh dibeli di festival berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner Afandi Senin dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Walau bagaimanapun, Kumar memberitahu masih terlalu awal untuk mengatakan siasatan berkaitan kes penculikan itu telah lengkap kerana pihaknya masih menyiasat pelbagai aspek lain.
“Siasatan masih diteruskan di bawa Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Sementara itu, saya ingin berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu menyalurkan maklumat sehingga kanak-kanak berkenaan berjaya ditemukan dengan selamat. Masyarakat juga banyak memberi maklumat dan kerjasama untuk kita sama-sama memastikan Johor kekal selamat untuk semua pihak,” katanya.
Sabtu lalu, Jia Hui dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya semasa Festival Bon Odori yang berlangsung di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
































