Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: PKR Sabah menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 orang dalam Himpunan Perdana Rakyat yang akan diadakan pada 4 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perhimpunan itu dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Beliau berkata, acara itu adalah peluang untuk pemimpin dan ahli-ahli PKR bersatu, menunjukkan solidariti dan memperbaharui komitmen terhadap kemajuan dan pembangunan negara ini.
Antara agenda dalam program ini adalah ucapan utama Perdana Menteri yang akan menggariskan dasar-dasar kerajaan dan perancangan masa depan untuk negara.
Selain itu, terdapat juga perbincangan mengenai peranan PKR dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan.
“Antara inti pati yang dimuatkan sebagai pengisian dalam Himpunan Perdana ini adalah berkait dengan isu-isu infra rakyat, kemiskinan, isu pengangguran belia, purata pencapaian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) dalam kalangan pelajar Sabah dan hal-hal berkaitan tentang MA63.
“Acara bersama Perdana Menteri akan bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang. Sesi dialog bersama Perdana Menteri bergantung kepada masa yang ada, jika ada ruang maka, kita akan buka soalan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, pihaknya menjemput semua pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi membuka ruang kepada mereka untuk bersama-sama mengupas isu-isu yang dibicarakan.
































