KUALA LUMPUR: Sebahagian pinjaman dilakukan kerajaan setiap tahun untuk membayar hutang termasuk hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai RM48 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sedangkan jumlah itu boleh digunakan untuk keutamaan rakyat termasuk pembinaan sekolah dan penyelarasan gaji penjawat awam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pentingnya pengurusan ekonomi negara dilakukan dengan lebih baik agar tiada ketirisan dan rasuah.
“Kerajaan tiap-tiap tahun pinjam untuk bayar hutang dan pembangunan. Paling membebankan pinjam untuk bayar hutang.
“Sebab itu pengurusan ekonomi negara itu penting, jadi tidak boleh ada ketirisan dan rasuah.
“Berapa jumlah hutang kita bayar? Untuk 1MDB sehingga tahun lalu, RM48 bilion.
“Bayangkan kita boleh belanja RM48 bilion itu bayar bina sekolah, klinik, universiti termasuk penyelarasan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Oleh itu, Anwar berkata, kerajaan akan menyasarkan pengurangan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus tahun ini.
Katanya, kadar hutang telah melebihi tahap ditetapkan sekali gus menuntut kerajaan mengurangkan fiskal, namun tanpa membebankan rakyat.


































