Datuk Badrul Hisham Mohd, (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura insentif KPKM kepada usahawan.
PETALING JAYA: Jualan Agro Madani akan diperluaskan pelaksanaannya dengan sasaran sebanyak 5,000 sesi jualan berakhir pada Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pencapaian Jualan Agro Madani pada tahun lalu mencatatkan nilai jualan RM93.74 juta selepas diadakan di 5,608 lokasi seluruh negara dengan melibatkan 74,841 usahawan.
Menurut beliau, program tersebut juga berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah maka ia membuktikan ia mendapat sambutan baik dari rakyat terutama golongan B40 dan M40.
“Pencapaian Jualan Agro Madani pada tahun ini pula, sehingga 30 Jun 2024, Program Jualan Agro Madani itu telah dilaksanakan di 4,110 lokasi di seluruh negara, melibatkan kira-kira 46,838 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM20.7 juta kepada pelanggan,” katanya di dalam satu kenyataan, kelmarin.
Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dilaksanakan oleh KPKM melalui tiga agensi pelaksana iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, kerajaan komited dalam merangka strategi khusus bagi memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos hidup yang tinggi.
Jelasnya, usaha dan sokongan berterusan akan dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
“Melalui Jualan Agro Madani ini, ianya dapat menyumbang kepada peningkatkan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang berpatutan,” katanya.
Tambahnya, penyertaan KPKM dalam inisiatif tersebut sudah berjaya melaksanakan aktiviti jualan dengan pelbagai barang keperluan agro-makanan secara terus dari ladang pada harga 10 ke 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
































