Daley Blind (tengah) menjalani latihan bersama skuad Belanda menjelang pertemuan dengan Turkiye, esok.
WOLFSBURG: Pertahanan Belanda, Daley Blind laung amaran kepada rakan sepasukannya untuk tidak memandang rendah kepada Turkiye pada perlawanan suku akhir Euro 2024.
Menurut Utusan Malaysia, skuad The Crescent-Stars bakal dihangati dengan sokongan padu oleh tiga juta rakyat Turkiye tinggal di Jerman untuk mewujudkan suasana permainan yang riuh.
“Turkiye akan bermain seperti di laman sendiri kerana mereka ada ramai penyokong. Sudah tentu mereka bersemangat untuk bermain, sekali gus menjadi perlawanan yang penuh emosi.
“Justeru, kami perlu berhati-hati ketika menentang mereka. Kami juga tidak akan sambil lewa dan memandang remeh berkenaan permainan mereka nanti,” kata Blind.
Turkiye meraikan kejayaan pasukan mereka secara besar-besaran selepas meloloskan diri ke suku akhir selepas menyingkirkan Austria pada saingan kalah mati, Rabu lalu.
Sementara itu, Blind mengakui bahawa Belanda bernasib menghadapi laluan yang mudah sepanjang Euro 2024 berbanding pasukan lain selepas menentang Romania dan kini berdepan Turkiye.
“Saya tidak menafikan bahawa pasukan kami bertuah selepas peringkat kumpulan. Hendak dibandingkan dengan negara lain, kami memang bernasib baik.
“Bagaimanapun, jika lihat dari sudut lain, negara yang lebih kecil kelihatan lebih mencipta kejutan kepada negara yang lebih besar,” tambahnya. – AGENSI


































