Anggota polis memeriksa peralatan yang dirampas dipercayai digunakan suspek mencuri kabel di Kemasik, Kemaman, hari ini.
KEMAMAN: Cubaan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi melarikan diri dengan kenderaan sejauh 120 kilometer (km) dan bersembunyi di atas pokok untuk meloloskan diri, gagal apabila dia berjaya dicekup polis, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi di Felda Panching, Kuantan, Pahang.
Menurut Hanyan, sebelum kejadian, sepasukan polis yang melakukan rondaan terserempak dengan empat suspek yang dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel kira-kira pukul 5 pagi di Kemasik, dekat sini.
“Menyedari kehadiran polis, suspek kemudiannya menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan memecut laju kenderaan itu sejauh kira-kira 120 kilomter
dari Kemasik, melalui Bandar Chukai, kemudian melalui Jalan Mak Lagam ke Cheneh, Jabor, Bukit Kuantan hingga ke Felda Panching.
“Pihak polis juga mendapat bantuan Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Kuantan dalam usaha mengejar suspek,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hanyan berkata, suspek yang berasal dari Felda Panching itu berjaya ditahan selepas dikesan bersembunyi di atas pokok manakala tiga lagi rakannya dipercayai bersembunyi dan melarikan diri dan kita sedang giat mengesan suspek terlibat.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek menemui beberapa peralatan seperti alat pemotong besi, cangkul dan beberapa lagi alat yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah itu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui dadah dipercayai jenis syabu yang dipercayai untuk kegunaan individu,” katanya.
Hanyan berkata, pihaknya akan turut menyiasat sama ada keempat-empat suspek ini turut terlibat kumpulan curi kabel yang dikenali ‘Geng Kabel’ yang dipercayai aktif dalam aktiviti jenayah itu di sekitar negeri Pantai Timur.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

































