Fadhlina Sidek
PARIT BUNTAR: Kejadian buli di institusi pendidikan tidak harus disembunyikan sebaliknya perlu ditangani berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah melakukan penambahbaikan dalam garis panduan antibuli bagi menangani gejala tersebut dengan kerjasama semua agensi termasuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM), pemegang taruh dan pihak berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya memberi ruang bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti serta peranan guru kaunseling dan kaunselor di sekolah dalam menangani isu buli.
“Apabila kita terima aduan berhubung isu buli, itu menunjukkan semua pihak sedar tentang keterbukaan ruang untuk bercakap isu ini.
“Bila kita terima aduan buli yang tinggi menunjukkan mereka bersedia untuk bercakap dan bersedia untuk memberikan maklumat kepada kita.
“Kita boleh ambil pendekatan untuk selesaikan dengan cara baik kerana kita sudah ada pendekatan dalam mengendalikan aduan, salah satunya ialah Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispa) dan kita telah bagi ruang penuh, telus dan berintegriti.
“Kita tidak mahu kes-kes yang kita sebut sebagai swept under the carpet (mendiamkan begitu sahaja),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Program Anti Buli Peringkat Daerah Kerian di Dewan Sekolah Menengah Jenis Jenis Kebangsaan Krian di Parit Buntar, hari ini.
Beliau mengulas satu video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di daerah Kerian baru-baru ini.
Menurutnya, semua aspek garis panduan yang ada perlu dijaga dan KPM memastikan semua aduan dikendalikan dan diselesaikan.
Beliau berkata, siasatan dan tindakan juga dilakukan oleh pihak sekolah yang terlibat.
“Semua tindakan itu adalah berdasarkan garis panduan KPM dan sudah ada ruang penyelesaian bagaimana hendak diambil dan memberi penjelasan serta penerangan kepada ibu bapa,” katanya.


































