Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Indikator kos sara hidup (KSH) bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah sedang dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan dan diumumkan pada awal November ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, indikator baharu itu diubah suai untuk memastikannya selari dengan perkembangan semasa negara.
Katanya, indikator baharu itu akan memberi gambaran secara kolektif mengenai jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah.
“Keadaan semasa menuntut ada perubahan, (kerana) ada keperluan yang di Kuala Lumpur tidak sama dengan keperluan di Hulu Terengganu (contohnya). Oleh itu, indeks harus diubah suai dan ini sedang dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat yang menetapkan kos sara hidup yang selari dengan perkembangan semasa.
“Kita juga ambil kira soal pengambilan neutral, diet Malaysia, semua itu diubah termasuk makanan, minuman bukan alkohol, pakaian dan kasut, perumahan, air, elektrik, gas, hiasan, kesihatan, pengangkutan, maklumat dan komunikasi, rekreasi, sukan dan perkhidmatan pendidikan yang umum tidak dimasukkan dalam kos sara hidup di kebanyakan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkenaan perkembangan terkini indikator baharu itu dan program laksanakan kerajaan berdasarkan dapatan indikator berkenaan.
Anwar berkata, pembangunan indikator baharu kos sara hidup secara terperinci sehingga ke peringkat daerah sangat penting dalam usaha penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat.
Katanya, penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga serta tertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan supaya indikator baharu kos sara hidup berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator sedia ada.
Mengulas lanjut, katanya, indikator baharu itu disusun bagi mendapatkan perbezaan kos bagi harga barangan dan perkhidmatan yang diperoleh isi rumah mengikut lokaliti.
Selain itu, ia juga membolehkan pengukuran berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima sama ada daripada kerajaan, swasta atau individu lain.
“Pengiraan indikator ini melibatkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif,” katanya.


































