Penduduk di daerah Chiradzulu, Malawi melihat kerosakan jalan raya selepas tanah runtuh yang disebabkan oleh taufan Freddy.
GENEVA: Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengisytiharkan Taufan Freddy sebagai taufan tropika terpanjang yang pernah direkodkan, iaitu 36 hari.
Menurut Utusan Malaysia, taufan itu bergerak di lembah Lautan Hindi, bermula dari pantai Barat Laut Australia dan kemudian ke selatan Afrika pada Februari serta Mac 2023.
Ia menyebabkan kerugian besar terhadap penduduk dan ekonomi di negara-negara yang terjejas.
Jawatankuasa Pakar Antarabangsa WMO mengiktiraf tempoh Freddy selama 36 hari pada status ribut tropika atau lebih tinggi, sebagai rekod baharu untuk tempoh taufan tropika terpanjang di dunia.
Pemegang rekod sebelumnya adalah Taufan Tropika John di Lautan Pasifik Utara pada 1994.
Menurut Agensi Cuaca PBB, John wujud dalam status ribut tropika atau lebih tinggi selama tempoh gabungan 714 jam atau 29.75 hari.
Freddy juga diisytiharkan sebagai taufan kedua terpanjang dari segi jarak, dengan menempuh 12,785 kilometer, manakala John melalui jarak 13,159 kilometer.
Menurut WMO, jarak sejauh ini merupakan hampir 33 peratus daripada lingkaran bumi.
“Freddy adalah taufan tropika yang luar biasa, bukan sahaja tempohnya tetapi juga keupayaan untuk bertahan melalui pelbagai interaksi darat, yang memberi kesan ketara untuk populasi Afrika tenggara,” kata pakar dari University of Wisconsin di Amerika Syarikat (AS).
Freddy memberi impak paling ketara di Madagascar, Malawi dan Mozambique.
Menurut WMO, lebih 1,200 orang dilaporkan maut dan hilang, manakala 2,100 yang cedera di Malawi.
Di Mozambique, lebih 1.3 juta orang terjejas dengan lebih 180 kematian, manakala hampir 200,000 yang lain terkesan di Madagascar.


































