Penyerang Belanda, Donyell Malen (kiri) meraikan bersama Xavi Simons selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa pusingan 16 UEFA Euro 2024 menentang Romania di Arena Munich, hari ini
MUNICH: Donyell Malen menjadi wira Belanda apabila membantu pasukannya untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah buat kali pertama sejak 2008 apabila menewaskan Romania 3-0, sebentar tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pada aksi terbabit, pemain Liverpool, Cody Gakpo membuka jaringan seawal minit ke-20 permainan untuk skuad Oranje.
Hasil jaringan Gakpo sekali gus membuntu Romania untuk menyamakan kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua bermula, Belanda kelihatan bertungkus lumus untuk menambah jaringan namun benteng pertahanan Romania ‘kelihatan’ kebal buatnya.
Malen yang dibawa masuk menggantikan Steven Bergwijn pada awal separuh masa kedua kelihatan berhasil apabila Gakpo memberi hantaran kepadanya untuk menjaringkan gol pada minit ke-83.
Selang 10 minit kemudian, pemain muda RB Leipzig, Xavi Simons membantu Malen untuk menjaringkan gol sebelum permainan tamat 3-0.
Keputusan itu meletakkan Oranje mara ke suku akhir bertemu pemenang antara Turki atau Austria, yang mana Austria menewaskan Belanda 3-2 pada peringkat kumpulan.


































