Pasangan beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperagakan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.- Ihsan MOM
PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan untuk kembali memilih corak belang harimau seperti kelaziman pada pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.
Katanya, logo MOM bersama Jalur Gemilang turut digunakan diiringi lima gegelung Olimpik berbanding hanya logo badan induk berwarna emas dipaparkan pada corak terdahulu.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat harimau yang sudah menjadi identity kontinjen Malaysia sejak kali pertama diperkenalkan pada Sukan SEA di Manila pada 2005.
“Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang harimau yang ditonjolkan.
“Sebagai badan yang mengelolakan kontinjen Malaysia di semua temasya antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman tetapi melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara,” katanya dalam satu kenyataan.


































