SEOUL: Selepas dikecam kerana mempromosikan blackfishing, kini Lisa Blackpink terus bertubi-tubi menerima kritikan peminat.
Namun kali ini hanya disebabkan figura pujaan ramai itu tidak menyebut tentang peminat Blackpink dalam ucapan terima kasihnya susulan kejayaan single terbarunya, Rockstar yang diterbitkan baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, peminat Blackpink yang digelar Blinks rata-rata meluahkan rasa kecewa apabila Lisa sekadar berterima kasih kepada peminatnya yang digelar Lilies atas kejayaan single tersebut.
“Ini kali pertama dia menyebut lilies dan bukan Blinks.
“Saya harap dia tahu Blinks juga berikan sokongan untuknya,” tulis peminat di laman X.
Lisa atau nama sebenarnya, Lalisa Manobal baru-baru ini menulis panjang lebar di Instagramnya mengenai kejayaan single Rockstar yang menerima 53 juta jumlah tontonan di Youtube selepas tiga hari ditayangkan.
“Terima kasih Lilies atas kasih sayang dan sokongan anda.
“Saya harap anda gembira dengan Rockstar yang diterbitkan tiga tahun selepas single terakhir saya.
“Ini hanya permulaan. Banyak lagi bakal menyusul,” kongsinya.
Mesej tersebut pada masa yang sama turut menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat yang mengandaikan pengakhiran Lisa bersama Blackpink.






























