Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Jenayah pecah amanah melibatkan peguam dapat dihapuskan sepenuhnya melalui akaun amanah yang dikawal kedua-dua pihak antara anak guam serta peguam.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia bukanlah satu cadangan yang sangat merumitkan malah memudahkan semua pihak yang berurusan transaksi kewangan melalui peguam.
Menurut beliau, pihak polis menyambut baik kenyataan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) bertajuk ‘Semak Latar Belakang Sebelum Lantik Peguam Hartanah, Elak Jadi Mangsa Penipuan’ yang disiarkan sebuah portal berita pada 25 Jun lalu.
“Ulasan itu kena pada masa dan keadaannya kerana terdapat klien yang kerugian jutaan ringgit hasil dari kepercayaan diberikan kepada peguam yang rakus.
“Namun, isu ingin diangkat oleh JSJK adalah mengenai keperluan akaun amanah dikawal oleh kedua-dua peguam dan anak peguam,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, jika ada apa-apa sebab yang tidak diketahui oleh masyarakat mengenai akaun amanah hanya boleh diuruskan oleh firma guaman dan tidak bersifat dua pihak.
“Maka, perkara itu perlu diperjelaskan untuk kefahaman masyarakat. Jika ini tidak dilakukan maka masyarakat akan membuat pelbagai tanggapan termasuklah tidak terhad kepada hal bahawa peguam menggunakan wang anak guam untuk perniagan untuk pelaburan di institusi kewangan.
“Malah, untuk tujuan pengubahan wang haram. Justeru, ketelusan yang dapat mengelakkan apa-apa persepsi negatif terhadap institusi mulia guaman,” katanya.
Portal berita semalam melaporkan , Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa dilaporkan berkata, penipuan dalam urusan jual beli tanah boleh dielakkan sekiranya peguam yang dilantik menjalankan tugas mereka dengan amanah.
Beliau dilaporkan berkata, langkah melantik peguam dalam urusan jual beli hartanah, terutama membabitkan nilai mencecah jutaan ringgit adalah perkara yang wajar sebagai pemudah cara urusan.
Jelasnya pelantikan peguam oleh kedua-dua pihak juga amat penting sebagai ‘check and balance’ atau semak dan imbang sepanjang urusan jual beli dijalankan sehingga ia selesai.




























