Kadar kesuburan di Thailand kedua terendah di Asia Tenggara selepas Singapura.
BANGKOK: Kajian mendapati 44 peratus rakyat Thailand tidak berminat untuk memiliki anak, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Institut Pentadbiran Pembangunan Negara.
Menurut Utusan Malaysia, kajian menyatakan, ini disebabkan kebimbangan mereka terhadap kesan keadaan masyarakat ke atas kanak-kanak, selain faktor kos perbelanjaan membesarkan anak dan tidak mahu terikat beban penjagaan.
Ini turut terbukti apabila kadar kesuburan di Thailand berada pada 1.08, iaitu negara kedua terendah di Asia Tenggara selepas Singapura pada tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Somsak Thepsutin memberi amaran jika kerajaan meneruskan trajektori ini, penduduknya boleh berkurang sehingga separuh, daripada 66 juta sekarang kepada 33 juta dalam tempoh 60 tahun.
Walaupun penurunan kadar kesuburan adalah fenomena global, Thailand bersedia untuk menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pada masa ini, wanita Thailand mendahului aspek pendidikan tinggi berbanding lelaki, malah penyertaan tenaga buruh mereka juga mengatasi wanita di Filipina, Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Penyelidikan untuk Ekonomi Antarabangsa dan Dasar Pembangunan di Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand, Kirida Bhaopichitr berkata, faktor itu sebenarnya mengehadkan bilangan anak berbanding mereka yang menjadi suri rumah.
Bagaimanapun, usaha ekonomi tidak menghalang prospek perkahwinan di negara itu berbanding dengan Jepun dan Korea Selatan, di mana penurunan kadar perkahwinan mungkin penyumbang kepada kadar kelahiran.
Thailand mengekalkan tahap perkahwinan yang konsisten selama lebih sedekad, tetapi pasangan suami isteri hanya memilih untuk tidak memiliki anak, sama ada buat sementara waktu atau kekal.
Susulan itu, kerajaan Thailand menggaris tiga strategi utama untuk memupuk persekitaran yang menggalakkan kelahiran dan menerapkan orang ramai terhadap pendidikan keluarga.
Ini termasuk menyediakan sokongan seperti kawasan penyusan yang ditetapkan, kemudahan pusat jagaan harian dan bantuan kewangan, meliputi subsidi barangan keperluan kepada faedah cukai untuk ibu bapa yang mempunyai anak ramai.
Selain itu, waktu kerja fleksibel untuk wanita yang mempunyai anak kecil adalah satu lagi usaha yang dirangka untuk penambahbaikan.


































