Datuk Mohd Sofian (tiga kiri) diiringi oleh Haji Azrul (tiga kanan) bersama pasukan KBSS gandingan (dari kiri) Maximilian Boijol, Adeka Aganduk, Desmond Qwek dan Wilfred Kaibal selepas menjuarai kategori Berpasukan Terbuka.
KOTA KINABALU: Aksi cemerlang pasukan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) menjuarai Cabaran Golf Kumpulan SEDCO 2024 yang berlangsung di Nexus Golf Resort Karambunai (NGRK) baru-baru ini.
Gandingan mantap Desmond Qwek, Adeka Anding Aganduk, Maximilian Jr. Boijol dan Wilfred Kaibal mencatat 114 mata untuk kelebihan selesa tiga mata mengatasi dua pencabar terdekat dalam kategori Berpasukan Terbuka.
Keputusan sama dua pasukan seterusnya memaksa Kiraan Semula (OCB) dilakukan sebelum memutuskan pasukan Lato-Lato gandingan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Afdlin Mikhail Mohd Sofian, Sazali Suadin dan Mohammad Soffwan muncul selaku naib johan.
Tempat ketiga disandang oleh pasukan Sabah Energy gandingan John Ericson, Jabir Ismail, Haji Alfian Abd Rahman dan Sabri Paning yang turut mencatat 111 mata menerusi tiga keputusan terbaik menggunakan format `Stableford’
Bagi kategori berpasukan Tertutup, pasukan SEDCO C gandingan Haji Azrul Haji Ahmad, Adrian Alang, Mohd Faizal Abu Bakar dan Zul Fakhriy Asli mencatat 110 mata untuk kelebihan dua mata muncul selaku juara bagi menjulang Piala Pusingan SEDCO.

Datuk Mohd Sofian (tengah) menyampaikan piala pusingan SEDCO kepada pasukan SEDCO C gandingan (dari kiri) Mohd Faizal, Haji Azrul, Zul Fakhriy dan Adrian Alang selaku juara Berpasukan Tertutup.
Naib johan disandang oleh pasukan Perkasa Realty Sdn Bhd gandingan Haji Joidin Gahim, Dr. Christopher Mandut, Jepri Matius dan Mat Saidi Minting dengan catatan 108 mata.
Manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan Sedcovest Holdings Sdn Bhd gandingan Cannisius Ebin Gon, Suhaili Wahap, Muhd Sharifuddin Yaakub dan Haji Harun Lister dengan catatan 99 mata.
Menerusi persaingan individu, kategori Gross Terbuka dijuarai oleh Jordan Mobijohn dengan aksi dua atas par 74 pukulan mengatasi pencabar terdekat Chali Awang dengan kelebihan dua pukulan muncul selaku naib johan sambil tempat ketiga disandang oleh Afdlin Mikhail Mohd Sofian dengan 77 pukulan.
Kategori Gross Tertutup Individu dijuarai oleh Dr. Christopher Mandut dengan aksi tujuh atas par 79 pukulan mengatasi naib johan Thor Gervasi dengan kelebihan selesa enam pukulan sambil Mordiana Abdullah dengan catatan 87 pukulan muncul selaku pemenang tempat ketiga.
Juara kategori Nett Terbuka Individu disandang oleh John Ericson selepas melalui OCB mengatasi naib johan Adeka Anding Aganduk yang turut mencatat keputusan yang sama dengan 39 mata manakala tempat ketiga disandang oleh Maximilian Jr. Boijol dengan 38 mata.
Kategori terakhir iaitu Nett Tertutup Individu dijuarai oleh Adrian Alang dengan catatan 38 mata mengatasi naib johan Haji Joidin Gahim menerusi kelebihan tipis satu mata sambil tempat ketiga disandang oleh Mohd Faizal Abu Bakar dengan aksi 36 mata.
Kejohanan tahunan anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang dikelolakan oleh Kelab Sukan dan Sosial Kumpulan SEDCO (KKS) itu disertai oleh 29 pasukan melibatkan 111 pemain yang mewakili kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, anak syarikat Kumpulan SEDCO serta badan-badan korporat.
Aksi pertandingan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Timbalan Speaker Negeri, Datuk Al Hambra Tun Juhar.
Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan; Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustiran dan Keusahawanan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan; Timbalan Pengurus Besar, Haji Azrul Haji Ahmad serta presiden KKS SEDCO, Ir. Haji Rajesh Datuk Yusof.
































