Lee Zii Jia
PETALING JAYA: Dua wakil negara, Lee Zii Jia dan Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, pemain No. 8 dunia, Zii Jia menepati statusnya sebagai pilihan pertama selepas membenam wakil Taiwan yang menghuni ranking ke-37 dunia, Lee Chia Hao dari Taiwan 10-21, 21-15, 21-10.
Pada perlawanan akhir, esok, pemain berusia 26 tahun itu akan bertemu sama ada pilihan kedua, Kodai Naraoka dari Jepun atau pemain No. 17 dunia dari Taiwan, Lin Chun Yi.
Apa yang lebih menarik ialah kemaraan beregu wanita Malaysia, Pei Jing-Chiew Sien yang menundukkan pasangan Hong Kong yang berada di ranking ke-21 dunia, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lim 21-13, 18-21, 21-14.
Beregu negara itu bukanlah gandingan yang biasa bermain bersama kerana pasangan sebenar Chiew Sien merupakan Vivian Hoo.
Tetapi, Chiew Sien yang menghuni ranking No. 39 dunia bersama Vivian terbang ke Australia sendirian tanpa pasangan sebenarnya dan Pei Jing yang beraksi dalam beregu campuran bersama Tan Kian Meng menjadi pengganti.
Sepanjang kejohanan, mereka bermain baik sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir dan esok, Pei Jing-Chiew Sien bakal berdepan pencabar yang lebih kuat iaitu beregu No. 18 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi dari Indonesia.
Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia iaitu beregu lelaki, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan beregu campuran, Kian Meng-Pei Jing tewas kepada lawan masing-masing.
































