Georgie melakukan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa KPDN di Pasar Besar Kota Kinabalu dan sekitarnya sempena sambutan Aidiladha.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksaan harga dan bekalan bahan mentah bag barangan keperluan sebagai persiapan menjelang sambutan perayaan Hari Raya Haji (Aidiladha) yang akan disambut esok.
Pemeriksan dijalankan di Pasar Besar Kota Kinabalu yang merupakan tempat tumpuan pengguna mendapatkan bekalan bahan mentah untuk kegunaan semasa merayakan Aidiladha.
Pemeriksaan ini dijalankan bagi memastikan harga bahan mentah tidak dinaikkan sesuka hati dan di samping itu juga bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
Tumpuan pemeriksaan kali ini adalah kepada gerai sayur sayuran, ayam, telur, daging, kelapa parut dan santan yang merupakan antara barangan keperluan dalam sambutan Aidiladha.
Tinjauan mendapati bekalan bahan mentah adalah mencukupi dengan harga jualan pada tahap normal, tanpa sebarang kenaikan harga.
Sepanjang 1 Januari 2024 sehingga 15 Jun 2024, KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 31,206 premis perniagaan dan telah mengambil tindakan kes sebanyak 544 dari pelbagai akta yang dikuatkuasakan serta melibatkan nilai rampasan sebanyak RM5,181,595.36.
Untuk tempoh itu juga KPDN berjaya mengutip kompaun sebanyak RM62,300 sementara denda Mahkamah pula sebanyak RM20,000.
Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas semasa melakukan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa KPDN di Pasar Besar Kota Kinabalu dan sekitarnya sempena menjelang sambutan Aidiladha.
Beliau turut memaklumkan bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 15 Jun 2024, KPDN Sabah juga telah menerima sebanyak 1,073 aduan pengguna dari pelbagai kategori yang berekod dalam sistem eAduan KPDN Sabah.
Para peniaga adalah diingatkan tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati dan dengan kadar yang tidak munasabah tanpa alasan yang kukuh. KPDN akan menyiasat setiap aduan yang diterima mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan dan aduan berkenaan harga dan barang kawalan akan disiasat dalam tempoh 24 jam.
Para pengguna pula disarankan supaya melaporkan terus sebarang maklumat
berkaitan salah laku peniaga semasa berurusniaga dengan menyalurkan
maklumat atau aduan yang lengkap kepada kementerian melalui saluran berikut untuk siasatan dan tindakan sewajarnya:
i. WhatsApp iaitu 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800, dan;
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN
































