Sebahagian wanita warga asing yang ditahan dalam operasi itu di Leboh Gopeng, di Klang, Selangor, malam tadi.
KLANG: Sekumpulan wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan di sebuah pusat hiburan dekat Leboh Gopeng di sini, disyaki turut melacurkan diri dengan menawarkan khidmat seks selepas waktu kerja mereka.
Sejurus tamat waktu bekerja kira-kira pukul 1.30 pagi, wanita warga asing itu dipercayai terus mengikut pelanggan mereka dengan bayaran dan permintaan tertentu.
Malah, sebelum itu mereka turut diberikan tip sehingga RM500 menerusi kalungan bunga yang dipakaikan bagi menghiburkan lelaki mata keranjang di premis tersebut.
Bagaimanapun, tindakan mereka itu dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor yang menyerbu kedua-dua pusat hiburan berkenaan menerusi Op Gegar, kira-kira pukul 10 malam tadi.
Pengarahnya , Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya membuat risikan terhadap premis tersebut sejak dua minggu lalu sebelum menahan 25 wanita warga Vietnam dan Thailand berusia 24 hingga 40 tahun dalam serbuan pada malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu menyalahgunakan pas. Rata-rata mereka yang hanya memiliki pas lawatan sosial itu disyaki bekerja sebagai GRO,” katanya.
Tambah Khairrul Aminus, semua wanita itu ditahan bagi tindakan lanjut dan premis berkenaan pernah diserbu pihaknya dua tahun lalu.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati ada di antara mereka cuba meloloskan diri menerusi pintu belakang selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa selain cuba bertindak kasar dengan anggota imigresen dan bersembunyi di tempat gelap serta sempit.
Helah mereka bagaimanapun tidak berhasil selepas dicekup di kawasan premis yang telah dikepung dan dikawal ketat pasukan operasi.
































