Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Malaysia melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura untuk mengajar di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan, sebaliknya cadangan itu adalah memohon jika negara itu mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazah Singapura dihantar ke kawasan miskin bandar, pedalaman dan Sabah serta Sarawak.
“Saya beritahu boleh tak kalau ada skim dari Singapura seperti mana skim bantuan atau dari segi diplomasi antara negara untuk mereka membantu.
“Bukan kita pilih guru dari Singapura…Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah,” katanya ketika berucap di hadapan 10,000 hadirin Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini hari ini.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong kelmarin, Malaysia menyuarakan permintaan kepada negara itu untuk menghantar tenaga pengajar khususnya bagi pembelajaran bahasa Inggeris dalam membantu golongan pelajar di negara ini.
Perdana Menteri berkata, perkara itu merupakan permohonan ‘kecil’ tetapi bersifat penting di sebalik pelbagai isu besar yang dibincangkan bersama ketika kunjungan kali pertama Lawrence Wong sebaik dilantik jawatan itu.
Lawrence menyambut baik permohonan itu yang mana kumpulan tenaga pengajar tersebut boleh dipilih dalam kalangan graduan muda untuk dihantar mengajar ke beberapa daerah di negara ini bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan beberapa subjek lain.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau mahu bahasa Inggeris ditekankan mulai sekarang selain memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Beliau berkata, skim bantuan tenaga pengajar dari Singapura itu ialah dengan cara melantik sukarelawan yang dibayar oleh pemerintah negara itu untuk pergi ke kawasan-kawasan pedalaman.
Katanya, langkah itu demi menjalin hubungan lebih baik antara negara-negara luar.
“Kita nak jalin hubungan dengan Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, jira-jiran penting kita. Antaranya saya bincang soal zon ekonomi Johor, pelaburan dan perdagangan untuk ambil inisiatif jalin hubungan baik.
“Kita pergi semua negara, di Uzbekistan, ada universitinya, dia nak hantar pelajar ke sini, saya kata baik juga kalau kita hantar pensyarah, profesor untuk seketika, tengok beberapa perubahan yang dilakukan di sana,” katanya.

































