Dr. Sabin merakam gambar kenangan bersama pemenang-pemenang Pertandingan Peragaan Fesyen Kanak-kanak berkonsepkan bahan kitar semula, yang merupakan salah satu daripada aktiviti sempena Karnival Komuniti @ KK.
KOTA KINABALU: Seramai 350 warga bandar raya telah hadir memeriahkan Karnival Komuniti @ KK, anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Plaza SEDCO, Taman Awam Teluk Likas., di sini, hari ini.
Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun, Karnival Komuniti @ KK ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, selain mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan.
Menurut DBKK dalam kenyataan hari ini, karnival yang bermula seawal pukul 7 pagi itu tadi telah diisi dengan pelbagai aktiviti
menarik seperti Wellness Fun Walk di mana peserta telah berjalan kaki sejauh tiga kilometer sambil membawa mesej menjaga alam sekitar dan berjalan sambil mengutip sampah.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah telah hadir
menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Mewarna dan Melukis, Pertandingan Peragaan Fesyen Kanak-kanak, Pertandingan Kitar Semula Isi Rumah dan Pertandingan Reka Cipta.
Turut hadir, Datin Sri Adreen Aderizza Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK; Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program; Mohamad Faizal Mohamed, Pengurus Besar KPJ Sabah dan Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
Tindakan tegas terhadap pihak potong, rosak pokok, tanaman kawasan awam
SEMENTARA itu, DBKK menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memotong atau merosakkan pokok dan tanaman di kawasan awam, seperti yang diperuntukkan di bawah Streets and Public Places By-Laws 1966.
Mengulas laporan akhbar bertajuk “Not The Way To Trim Trees” bertarikh 30 Mei 2024 lalu yang merujuk kepada tindakan DBKK yang dikatakan telah memotong pokok di kawasan awam dengan tatacara yang salah, DBKK memaklumkan hasil tinjauannya di kawasan yang dilaporkan iaitu di kawasan tempat letak kereta Lintas Plaza, telah mendapati sebanyak enam pokok teduhan jenis pokok kelat paya atau Eugenia Sp. telah dipotong silara oleh pihak bukan DBKK.
“Pokok-pokok tersebut telah dikenal pasti sebagai aset atau hak milik DBKK dan
ianya telah dipotong silara tanpa kebenaran.
“Penanaman pokok teduhan bersilara lebar dan rendang di kawasan letak kereta sekitar bandaraya Kota Kinabalu adalah merupakan usaha DBKK untuk memberi kesan teduhan yang dapat menyejukkan persekitaran.
“Sehubungan dengan itu, tindakan memotong atau memancung sepenuhnya (100%) silara pokok adalah satu perbuatan vandalisma dan amat tidak bertanggungjawab. Ianya merupakan satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) DBKK iaitu Streets and Public Places By-Laws 1966, Perkara 5. (1) “Tidak Boleh Merosakan Atau Membuka Pokok/Tanaman Di Kawasan Awam”.
DBKK turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat serta-merta oleh pihak DBKK dan seterusnya mendapatkan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan tersebut.
“Pelaku akan dikenakan kompoun jika disabit kesalahan dan pihak DBKK tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat tuntutan nilai ganti rugi yang tinggi.
“Kejadian seumpama ini telah kerap berlaku sehingga melibatkan beberapa
kawasan awam yang lain seperti jalan-jalan utama dan pusat bandar raya.
“Pokok merupakan aset semula jadi yang perlu dilindungi dan dijaga dengan tatacara yang betul.
“Pihak DBKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak yang terbukti melakukan kesalahan.”






























