Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menjadi sandaran utama di pentas Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria menaruh keyakinan tinggi bahawa skuad badminton negara akan ‘meletup’ di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Norza berkata, setiap atlet mempunyai proses turun dan naik dan tahap kemuncak prestasi kem badminton negara sudah tentu perlu dipamerkan di Paris dan bukan di Jelajah BWF semata-mata.
“Kalau kita lihat Terbuka Thailand, Malaysia kita menang. Adakah kita mahu mereka memuncak di Jelajah BWF? Kita nak mereka berprestasi tinggi di Paris. Itu medan terakhir mereka mahu menunjukkan kebolehan sebenar mereka.
“Mereka ini mempunyai harapan mahu membawa pulang pingat. Impian mereka itu mahu ditukarkan kepada pingat Olimpik. Sebahagian daripada mereka adalah Olimpian. Tentu sahaja mereka ada bergelut dengan prestasi. Mencapai prestasi tertinggi itu paling penting di Paris,” katanya.
Terdahulu, beregu sandaran pingat negara di pentas Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersungkur di pusingan kedua Terbuka Indonesia selepas tewas di tangan pasangan Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21-14-21.
Turut tersingkir di kejohanan itu ialah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang tumpas kepada pilihan keempat dari Korea Selatan, Seon Seung Jae-Chae Yu Jung 13-21, 15-21.
Terbuka Indonesia yang berstatus super 1,000 itu menjadi medan terakhir untuk pemain menampilkan aksi terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirai pada Julai ini.
Dalam pada itu, Norza turut menegaskan kem badminton negara masih mampu membuat kejutan di bumi Paris biarpun prestasi yang hambar sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, tahap prestasi mereka sudah diukur selepas layak secara merit ke Paris sejak aksi kelayakan malah menunjukkan mereka hanya separuh jalan untuk mencapai kejayaan.
“Tahap prestasi mereka kita sudah dapat lihat mereka mampu layak ke Olimpik. Mereka semua ini 10 pemain terbaik dunia dan bukan pemain biasa yang ranking rendah.
“Kita perlu percaya kepada mereka serta memberi sokongan padu. Apa yang mereka perlukan hanya sokongan dan doa daripada kita. Kita akan membantu selagi mereka memerlukan,” katanya.






























