Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu memanfaatkan kira-kira 13,000 pelajar.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembiayaan tambahan itu disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi program TVET dalam bidang berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani dan industri nadir bumi.
“Saya percaya ini disalurkan menerusi PTPK tetapi saya serahkan kepada Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan untuk memutuskan keutamaan kerana kita mahu (perkasa) bidang kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber; kecerdasan buatan (AI), bahan termaju, teknologi elektronik mekanisasi ladang dan automasi pertanian serta penternakan.
“Jadi, kita luluskan peruntukan tambahan ini dan yang lain-lain yang dicadangkan tambahan untuk orang kurang upaya (OKU), untuk orang asal, itu saya percaya selari dengan dasar kerangka ekonomi Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Dasar TVET negara 2030 dan perasmian Hari TVET Negara (HTN) 2024 yang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Langat dekat sini, hari ini.
Menurut Anwar, pembiayaan dalam bidang-bidang itu akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
“Ia adalah usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir,” katanya.





























