Air Terjun Yuntai menjadi lokasi tarikan pelancong paling popular di China.
BEIJING: Air Terjun Yuntai di China yang dianggap sebagai air terjun semula jadi paling mengagumkan di Asia, sebenarnya ditambah baik secara buatan untuk mempertingkatkan keunikannya.
Menurut Utusan Malaysia, Air Terjun Yuntai adalah tempat pemandangan paling popular di Pergunungan Yuntai di wilayah Henan berjaya menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun.
Ternyata pemandangan luar biasa air terjun setinggi 314 meter yang dianggap menakjubkan itu dipertingkat secara buatan dan terdedah dengan hasil teknologi moden.
‘Rahsia’ itu didedahkan seorang vlogger China yang berjaya menuju ke puncak air terjun berkenaan dan melihat sendiri paip logam dimasukkan ke dalam air terjun untuk hasil pemandangan menakjubkan.
Awalnya, video tular penemuan itu dikritik sebagai palsu, tetapi sumber dari kawasan pemandangan Gunung Yuntai mengakui bahawa air terjun tersebut ditambah baik secara buatan manusia bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong, tanpa mengira faktor semula jadi.
Air terjun Yuntai tidak begitu mengagumkan ketika musim kemarau, jadi, pihak berkuasa China memutuskan untuk membantunya dengan beberapa pam dan paip untuk memastikan tarikan pelancong sepanjang tahun.
Isnin lalu, Kawasan Pemandangan Gunung Yuntai menjelaskan di akaun WeChatnya bahawa air terjun itu adalah tarikan bermusim dan tidak mempunyai air yang banyak sepanjang tahun.
Maka, bagi memastikan ia sentiasa menarik kunjungan pelancong, penambahbaikan kecil dibuat dengan bantuan pam air dan paip.
Berita mengenai air terjun itu mengejutkan orang ramai di China, namun, beberapa netizen menyatakan mereka tahu mengenai penambahbaikan itu meskipun pegawai kawasan tidak mendedahkan keseluruhannya.
Sumber air hulu yang mengalir ke Air Terjun Yuntai adalah dari wilayah Shanxi, sedangkan air terjun itu sendiri terletak di wilayah Henan.
Pihak berkuasa di wilayah Shanxo membina takungan untuk memotong aliran air, maka, satu-satunya cara memastikan Air Terjun Yuntai terus mengalir seperti sebelum ini adalah dengan menggunakan pam.


































