Dr. Dzulkefly Ahmad
BALIK PULAU : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan sasaran untuk melahirkan sekurang-kurangnya lapan pakar geriatrik atau pakar sakit tua dalam masa setahun di hospital-hospital awam sebagai persediaan awal apabila Malaysia menjadi negara menua.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini, kerjaya sebagai pakar geriatrik masih kurang mendapat tempat di negara ini.
Katanya, setakat ini, hanya satu universiti iaitu Universiti Malaya (UM) yang menawarkan program berkaitan pakar geriatrik dengan tiga hingga lapan pelajar sahaja setahun.
“Jadi ke arah satu masyarakat menua, sekurang-kurangnya kita harapkan penambahan paling tidak, lapan pakar geriatrik dalam setahun.
“Susah untuk kita tarik minat pelajar untuk mempelajari bidang ini. Apapun, kita akan bincang dengan program-program sarjana perubatan untuk tingkatkan lagi jumlah pakar geriatrik.
“Itu komitmen KKM. Paling tidak pun, kita ada perjawatan lapan pakar setahun. Namun, kita masih gembira kalau dapat isi perjawatan lima pakar geriatrik setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di sini hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang akan menjadi negara menua harus mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur kondusif.
Susulan itu, beberapa pakar kesihatan menggesa kerajaan digesa menyediakan jumlah pakar geriatrik yang mencukupi apabila Malaysia menjadi negara menua menjelang 2047.
Menurut Dr. Osman Ali dari Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP), langkah itu bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diteruskan apabila 14 peratus daripada populasi negara terdiri daripada individu berusia 65 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, setakat ini iaitu di peringkat KKM sahaja terdapat 33 pakar geriatrik, 13 pakar geriatrik di hospital di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) manakala di hospital swasta pula terdapat seramai 14 pakar geriatrik setakat ini.


































